A review by aniz_09
The Antidote: Happiness for people who can't stand positive thinking by Oliver Burkeman

4.0

Sejak di bangku sekolah, banyak sekali ceramah motivasi yang diberi, sehingga terbawa ke universiti. Akhirnya kita terlalu bergantung pada motivasi, dan sudah bekerja pun, apabila rasa tiada mood, kita mencari atau membaca buku motivasi. Buku motivasi banyak mengajar kita untuk menukar atau mengubah apa yang kita rasa. Menyuruh kita dapatkan emosi yang sesuai sebelum memulakan sesuatu tugasan. Walhal, mood dan motivasi ni memang akan ada turun naiknya. Oleh kerana mood dan motivasi ni tak berkekalan, mengapa kita terlalu bergantung padanya? Cara yang terbaik adalah dengan membuat sistem kerja yang betul. Dengan sistem/proses kerja yang betul, tak kira ada mood atau tidak, kita tetap dapat memulakan sesuatu kerja atau tugasan.

Rata-rata buku motivasi atau bantu diri menyampaikan mesej yang biasa-biasa sahaja dan hampir sama kesemuanya, contohnya seperti fikir positif, tetapkan matlamat/gol, fokus, jangan bertangguh dan lain-lain lagi. Survivor bias, apabila media selalu memaparkan orang yang berjaya, dan menulis ciri-ciri dan sikap mereka. Walhal pada masa yang sama, ada sahaja orang yang berfikiran positif dan mempunyai ciri yang sama dengan orang yang berjaya tetapi masih gagal. Kegagalan bukan untuk dielakkan tetapi untuk dihadapi. Ini adalah kerana, terlalu sedikit perkara di dunia ini dalam kawalan kita. Orang yang berjaya bukan semata-mata kerana fikir positif, tetapi juga kerana banyak faktor lain, salah satunya adalah nasib.

Berfikiran positif adakalanya memakan diri. Kita terlalu memikirkan masa depan akan jadi lebih baik berbanding waktu sekarang. Kelemahannya adalah, kita terlupa menikmati hari ini kerana fokus pada masa depan. Terlalu berfikiran positif seolah-oleh kita mahu mengawal masa depan dan mahu ia mengikut kehendak kita. Namun, bagaimana jika keadaan semakin memburuk? Contohnya terhadap perkara yang berlaku di luar kawalan kita seperti masalah ekonomi, wabak, pemanasan global dan banyak lagi.

Kesimpulannya, berfikir positif/negatif perlu seimbang. Kesedihan bukan untuk dinafikan tetapi dihadapi. Agama, psikologi dan falsafah juga tidak terlalu menekankan untuk kita mencari bahagia di dunia ini. Agama mengajar dan mendidik kita untuk menyeimbangkan dan mengendalikan hidup ini dengan baik, tak kira semasa susah atau senang, kaya atau miskin, dan semasa berhadapan dengan pelbagai perkara tak dijangka.

Ada juga beberapa perkara yang saya tak setuju terutama dalam bab-bab yang terakhir. Namun, banyak perkara yang saya pelajari dalam bab terawal buku ini.