A review by eisya
Koloni [M] by Auni Zainal

4.0

Pada tahun 2029, landskap Malaysia berubah. Kotanya kini dipanggil TMCC. Tun Mahathir Civilian City. Masyarakat dibahagikan kepada 4 personaliti. Analyst, Empath, Artist, Executive. Disingkatkan menjadi N , M , R , X .

N: (An)alyst
M: (Em)path
R: (Ar)tist
X: (Ex)ecutive

Namun, disebabkan penyakit saraf yang dihadapi — mengakibatkan kegagalan untuk mendengar dengan jelas, Ansar tidak melepasi ujian saringan untuk tinggal di TMCC. Sesiapa yang tidak berkelayakan akan dibuang ke Bazar. Ibu bapa Ansar yang berasal dari koloni M memilih untuk tinggal di Bazar, sekali bersama seorang lagi anaknya, Anfal yang berpersonaliti Artist.

Ansar mendapat tawaran program untuk serap semula ke TMCC. Dia dipakaikan Kom, iaitu alat komunikasi yang dipakai oleh semua penduduk TMCC. Bezanya, Kom yang dipakai Ansar mempunyai ciri-ciri istimewa untuk pendengaran. Ansar disahkan sebagai high level M, yang membolehkan dia mengenal pasti personaliti manusia dengan hanya melalui pemerhatian. Namun, dia tidak sedar bahawa ada muslihat di sebalik tawaran serap semula tersebut.

Farahain, doktor yang memantau Ansar menggunakan Ansar untuk menjayakan matlamat peribadinya, untuk memusnahkan NVBS. Harraz yang tidak diketahui keberadaannya, membawa kod yang boleh memusnahkan NVBS. Farahain menggunakan Ansar untuk mencari Harraz yang berpersonaliti N. Kemusnahan NVBS boleh membunuh seluruh penduduk TMCC kerana Kom yang dipakai bersambung pada otak.

Apakah kesudahan takdir TMCC?
Apakah benar, pembahagian personaliti memberi manfaat kepada satu sama yang lain?
Adakah dunia ini hanya memerlukan satu jenis personaliti sahaja?

Ulasan:
Koloni [M] ini, secara peribadinya, agar sukar untuk aku amati. Pengenalan kepada watak kurang jelas. Sehingga ke separuh bacaan, aku masih tertanya-tanya, Ansar ni lelaki ke perempuan? Anfal ni lelaki ke perempuan? Nama seakan seperti untuk lelaki, tetapi hakikat dalam cerita ini, kedua-dua Ansar dan Anfal adalah perempuan.

Penceritaan latar tempat yang kurang memuaskan. Seakan-akan Touch n Go. Latar tempat empangan hanya diceritakan secara ringkas. Latar tempat koloni-koloni, terlalu memfokuskan tentang kedudukan dan arah antara satu sama lain sehingga latar-latar yang lain terabai. Kewujudan koridor membuat aku keliru. Ilustrasi pada kulit buku tidak menggambarkan seperti apa yang diceritakan.

Aku tertarik untuk baca Koloni [M] ini, kerana sinopsisnya. Aku suka idea penulis menggunakan personaliti sebagai tema utamanya. Seperti memberi pendedahan tentang, fitrah manusia yang saling melengkapi. Tiada yang lebih baik, tiada yang kurang baik. Yang ada, adalah berbeza. Dan yang berbeza itulah yang membuatkan kita, secara langsung atau tidak langsung, saling memenuhi keperluan antara satu sama lain.

Personally, aku bagi 3.6/5