A review by blvrread
Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan by Hamka

5.0

Seperti tajuknya, Buya Hamka merangkulkan keajaiban perempuan dengan memulakan setiap bab buku kebanyakannya dengan ayat-ayat al-Quran untuk menjelaskan notanya.

Buya Hamka telah mengumpul perkara-perkara yang sering diambil berat tentang wanita; maruahnya, kedudukannya, haknya, keistimewaannya. Hamka hampir menyeluruh membincangkan tentang wanita dalam kondisi sebagai seorang ibu, anak perempuan, isteri, dan saudara perempuan. Hamka mendasari penyataan-penyataan daripada al-Quran dan Hadis Nabi, menjadikan sumber-sumber utama tersebut sebagai fakta hujahnya.

Perasaan saya membaca buku ini berbaur, terharu dan sedikit keliru sejujurnya. Sesungguhnya, hak sebagai seorang perempuan itu, hampir sama tarafnya dengan laki-laki, malahan kedudukan mereka dalam Islam ternyata lebih mulia berbanding yang disebut agama-agama lain. Namun perlu disedarkan bahawa had taraf itu juga ada, kerana orang lelaki itu dilebihkan tanggungjawab dan fizikalnya, maka lebihlah kepimpinannya.

Sebak terasa hati memikirkan saranan Nabi Muhammad SAW terhadap bapa-bapa kepada anak perempuan. Hadis Nabi tentang bapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, memuliakan mereka, menjaga mereka ketika susah dan senang tanpa keluhan, maka akan dijamin syurga baginya. Terlalu dekat dengan saya kerana saya tiga beradik kakak perempuan. Namun jika anak perempuannya dua orang, turut sama dimasukkan syurga. Malah bahkan seorang.

Setelah membaca karya buya Hamka yang satu ini, dapat saya lihat bahawa kedudukan wanita di dalam agama itu sudah tinggi ditetapkan tuhan, namun perkara itu disukarkan dengan adanya masyarakat kini yang takut berkurang kekuasaannya, dan juga masyarakat yang konon tertindas jauh haknya dipisahkan antara dua jantina.

Satu karya yang penting, wajib dibaca oleh semua orang.