A review by biblio_mom
Aku, Memoir & Rahsia by NURIN INSYIRAH

3.0

Aku, Memoir, & Rahsia menceritakan tentang seorang gadis Melayu cantik berwajah kacukan yang bernama Halisa Hanani. Ia bermula dengan keberadaan mereka sekeluarga di Jepun untuk bercuti sambil bertemu dengan kakaknya yang menyambung pelajaran di situ. Dek leka melihat sekeliling, Lisa yang ditemani kakak dan rakan kakaknya terpisah. Takdir menemukan Lisa dengan Hana dan obaachan. Ia adalah suatu pertemuan yang bermakna dan mereka menjalinkan ikatan yang sangat baik. Lisa menemukan suatu rahsia di kediaman obachan dan Hana yang menyebabkan dia meninggalkan kediaman itu untuk menenangkan fikiran. Tidak disangka-sangka, Lisa kemudiannya berkenalan dengan Akiko dan Takashi yang menyebabkan nyawanya terancam, dan rahsia yang lebih besar terbongkar.

Pertama sekali, tahniah Nurin, antara Booktuber Malaysia termuda yang berjaya menerbitkan karya penulisannya di usia 14 tahun! Naskah yang saya baca adalah terbitan pertama, dan seperti yang saya jangkakan, pasti ada kesalahan ejaan dan tatabahasa. Cuma saya agak kecewa apabila kesalahan tersebut agak banyak jumlahnya. Mohon pihak editor memperbaiki kesalahan-kesalahan tersebut di cetakan kedua dan seterusnya.

Kepintaran Nurin dalam mengolah cerita, menyusun plot, dan mencipta watak dalam sesebuah novel di usia yang sangat muda ini harus diberikan pujian yang tinggi kerana seperti yang kita tahu, mengimaginasikan sesebuah cerita semasa membaca itu lebih senang daripada “memuntahkan” imaginasi dan rekaan sesebuah cerita ke dalam bentuk penulisan. Latar belakang tempat yang dipilih, iaitu Jepun, amat bersesuaian kerana adik Nurin sendiri pernah pergi bercuti ke Jepun. Jadi, penulisannya tentang tempat-tempat menarik ini lebih mudah dibayangkan oleh pembaca.

Buku ini membawa tema kekeluargaan yang manis, dan konflik yang diberikan pada jalan cerita sangat menarik. Bahkan, ada unsur saspens di dalamnya.

tw : depression, self-harm