A review by iris_ymra
Di Situ Langit Dijunjung by Hanna Alkaf

5.0

"Jangan biar sesiapa pun cakap yang kamu tak layak berada dekat sini,"

"Kita semua layak berada dekat sini. Tanah air ni cukup untuk semua orang."

______

Pepatah, Di mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijinjung, bernada berbeza setelah membaca buku ini -- pembacaan saya turut diteman tangis membawa diri masuk ke dalam dunia fiksi buku ini yang dalam masa sama berselit fakta.

Keharmonian yang wujudnya kukuh tanpa mampu diruntuhkan daripada luar akan terlalu mudah jatuh tatkala ada yang menolak daripada dalam.

Kebutaan ilmu dan sejarah akan menyemai keengganan meraihkan perbezaan dan kepelbagian, menjadikan katak menggunakan tempurung untuk menyerang bukan lagi untuk berlindung.

______


Di Situ Langit Dijunjung terjemahan buku penulisan Hanna Alkaf -- 'The Weight Of Our Sky' -- menceritakan kisah Melati seorang remaja biasa yang menjalani kehidupan dengan kondisi yang luar biasa -- ocd & anxiety -- yang pada suatu masa dahulu barangkali merupakan satu tabu yang akan melabelkan seseorang itu tidak siuman dek kekurangan pendedahan dan ilmu tentang kesihatan mental dalam masyarakat. Melati melalui hari-hari biasanya seperti seorang remaja biasa bersama sahabat karibnya Safiyah -- tidak pernah mereka menyangka tayangan wayang yang ditonton sudahnya berakhir dengan tayangan tragedi yang meragut banyak nyawa. Melati kehilangan sahabat karibnya pada hari itu -- 13 May 1969.

'Jin' yang sering berbisik tidak membantu hidup Melati sepanjang menghadapi hari-hari dalam tempoh berlakunya rusuhan dan pertumpahan darah dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina yang ekstrim -- saling menunding jari pada sesama satu pihak yang lain bagai lebih mudah berbanding mencipta muafakat dalam kepelbagaian. Langit tidak lagi mampu dijunjung ketika bumi pecah terbelah.

Dan dalam keadaan yang mencipta buruk pada sebelah pihak dari pihak yang lain, mereka yang masih percaya pada kebaikan dalam diri setiap manusia telah mempamerkan perikemanusian itu tak terbatas dek bangsa dan agama. Itulah yang Melati temui saat berlindung dalam keluarga Auntie Bee -- Uncle Chong, Vince dan Frankie -- dan Jay -- dan ketika Melati menyelamatkan May. Ketika Roslan dibantu Mala dan ibunya, mengenakan sari untuk menyamar sebagai wanita India, agar Roslan mampu pulang kepangkuan keluarga dengan selamat.

Melati sering dihantui bayangan kematian ibunya -- dengan huru hara rusuhan yang berlaku dia semakin lebih yakin yang mama sudah mati, bukan dia tapi 'jin' yang meyakinkannya bahawa mama sudah mati, semua orang yang dia sayang sudah mati. Namun pada akhirnya kerana 'perbezaan' juga, menemukan dia dengan mama.