A review by eisya
Merantau Ke Deli by Hamka

5.0

Merantau ke Deli ini menceritakan seorang perempuan bernama Poniem, yang menjadi kuli, atau pun bagi senang faham, sebagai perempuan simpanan (ataupun gundik) kepada orang yang status sosialnya yang tinggi. Leman, yang asal usulnya dari Padang, berdagang di Deli secara kecil-kecilan, dan di situ dia bertemu dengan Poniem.

Pada mulanya Poniem menolak lamaran Leman kerana keadaan masyarakat yang menjadi kebiasaan berkahwin dengan kuli, semata-mata untuk mendapatkan harta kuli yang tamat kontrak. Leman memberikan janji manis untuk mempertaruhkan hidup selama-lamanya dengan Poniem, meskipun realitinya Poniem merupakan orang Jawa manakala Leman asalnya dari Padang, yang mengamalkan adat Minangkabau.

10 tahun bergelar suami isteri yang penat lelah membangunkan perniagaan sehingga menjadi maju, yang pada asalnya modal adalah dari harta Poniem sendiri, Leman ditekan oleh keluarganya untuk berkahwin untuk kali kedua, bersama Mariatun yang asalnya juga dari Padang. Adat Minangkabau bagi aku tersangatlah rumit, dalam erti kata, berat sebelah kepada perempuan, dan pada akhirnya tiada harta peninggalan buat pihak suami, dan tempat tinggal suami pada hari tua adalah di surau buruk. Kehidupan suami hanya untuk bekerja semata untuk memberi harta untuk orang di kampung, dan untuk saudara-saudara perempuan.

Leman mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Mariatun, juga atas keinginannya untuk berkahwin dengan yang lebih muda, dan yang lebih cantik. Kehidupan beristeri dua menjadi sebab kepada konflik rumah tangga Leman, sehingga dia menceraikan Poniem dengan talak tiga. 3 tahun perpisahan mengubah hidup mereka. Perniagaan Leman merosot, hutang tidak terbayar, berkongsi rumah dengan keluarga lain manakala kehidupan Poniem bertambah maju, Poniem berkahwin dengan Suyono, iaitu pembantu kedai Poniem dan Leman sewaktu mereka berumah tangga, yang mengikut sama menemani Poniem selepas berstatus janda, dan juga waktu dulu merupakan kuli kontrak di Deli. Mereka membina perniagaan di Deli dan membeli rumah di Medan, yang hakikatnya adalah rumah kepunyaan Leman, tetapi telah dijual kerana dibebani hutang.

Leman bertemu Poniem untuk meminta maaf dan menjadi semakin malu kerana hakikatnya dia meminta maaf di hadapan suami baru Poniem, iaitu Suyono. Poniem dan Suyono menawarkan modal buat Leman untuk memulakan perdagangan, namun ditolak kerana tidak sanggup, malu. Leman, Mariatun, dan anaknya berpindah ke kampung. tamat