A review by iris_ymra
HERO by Zakri Rahman

4.0

Hadi merupakan anak kepada seorang bekas Superhero -- Supertaklut -- seusia kanak-kanaknya ayahnya itu merupakan satu imej yang sangat dia banggakan, namun tidak lagi setelah kematian ibunya. Dan Hadi membesar dengan perasaan benci kepada ayahnya.

Menyertai program superhero bukan lah kerana ingin mengikut jejak ayahnya. Tetapi dek tuntutan untuk membayar hutang pada Ah Long dan mahu mencuri hati Aisya.

Di Akedemi Satu Superhero, Hadi bertemu dengan perserta yang akan menjadi kawan dan lawan. Setelah dia sendiri berhadapan dengan tentangan, Hadi akhirnya menemukan sebuah kebenaran tentang ASS daripada Gel, daripada superhero-superhero yang lama dan paling utama daripada ayahnya sendiri -- Supertaklut.

_______

Hero; buku ini pada saya merupakan satu idea yang menarik, dan tidaklah terlalu rumit. Perjalanan cerita juga terus berkembang sehingga ke akhir dengan plot yang tersusun, menjadikan buku ini pada saya bacaan yang mudah dan ringan.

Penulis mengangkat tentang isu yang boleh mengajak kita berfikir -- ekploitasi yang dilakukan oleh mereka-mereka yang berkuasa, peranan media, hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Penggunaan bahasanya santai dan dengan menggunakan POV pertama sering diselit dengan unsur lawak, menjadikan cerita ini tidak terlalu tegang. Pada saya juga, fokus penceritaan buku ini lebih kepada jalan cerita yang tidak kepada pemerian terperinci. Dan kalau sahaja buku ini tiada unsur-unsur 18 tahun ke atas, pada saya akan menarik untuk pembaca kanak-kanak juga.