A review by iris_ymra
JEJAK by Rozlan Mohd Noor

4.0

Wahid yang sedari kecil hidup di rumah anak yatim, bertekad untuk menjejaki latar belakang kehidupannya selepas dia menduduki peperiksaan SPM; dia ingin tahu bagaimana dia boleh berada di rumah anak yatim, siapa kedua-dua orang tuanya yang bernama Mastura dan Abdullah seperti yang tercatat dalam surat kelahirannya itu.

Setelah Wahid meninggalkan rumah anak yatim tempat dia membesar, dia bekerja sementara menanti keputusan SPM keluar. Dan dengan keputusan SPM yang memberangsangkan Wahid telah memohon untuk menyertai pekhidmatan Polis, yang merupakan salah satu jalan untuk pelan jejaknya. Jawatan konstabel yang Wahid pegang dan dengan bantuan beberapa pegawai di tempat dia bertugas, sedikit sebanyak telah membantu misi pencariannya.

Jejak Wahid menemukan dia dengan terlalu banyak kemungkinan yang dia wujudkan setelah mengetahui tentang kematian ibunya Mastura. Perasaannya juga berbaur apakala mengetahui dia adalah keturunan yang seperti apa -- bagaimana terlahirnya dia berbinkan Abdullah. Wahid sedar kematian ibunya bukan lah titik akhir kepada jejaknya kerana dia tahu tentang bagaimana cara kehidupannya -- yakni dia harus punya ayah untuk lahir ke dunia ini.

______

Jejak; plot berjalan dengan naratif POV pertama Wahid yang menceritakan semula peristiwa yang telah berlaku -- seawal memulakan misi jejak nya sehingga dia berada di dalam penjara -- kepada dua orang peguam. Penceritaan lancar dan dengan kronologi yang tersusun tanpa terlalu bermain dengan twist dan turn namun masih mewujudkan unsur saspen dan rasa ingin tahu saya sepanjang pembacaan. Namun tidaklah begitu mengejutkan kerana saya sudah mampu menduga siapa dan apa -- hanya bagaimana penulis melaksanakan penceritaan tersebut yang menimbulkan rasa ingin tahu saya itu.

Watak-watak di dalam cerita ini juga pada saya berkembang sama tara, tiada yang terlalu menonjol. Jadi saya memang fokus pada Wahid sepenuhnya dan juga jalan cerita serta konflik yang diwujudkan. Penulis membawakan isu yang banyak kita dengar kala ini, gejala yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.

Penggunaan bahasa yang tidak lah begitu santai tapi tidak juga terlalu baku dan kompleks sehingga pembacaan jadi rumit atau bosan -- secara ringkas penggunaan bahasa yang memang saya lebih suka.

Saya sempat menangis juga bila Wahid dah sampai ke akhir kisah jejaknya. Yang mana akhirnya Wahid mungkin sudah menemukan penutup kepada misi hidupnya selama ini.