A review by iris_ymra
Projek Athena 2: Pertarungan Neo-Manusia by Syeraho

4.0

Kota Aveyond digegarkan dengan serangan bom pengganas -- yang didalangi Ezakiel -- yang telah meragut nyawa ramai orang awam. Seterusnya sebuah hospital turut menjadi sasaran, yang telah menyaksikan pertembungan dan pertempuran pertama dua neo-manusia -- Athena dan Zeus -- dan berlakunya penculikan Puan Irene, isteri Presiden William.

Kedua-dua Athena dan Zeus punyai pandangan berbeza tentang kemanusian, namun kedua-duanya punya persamaan yang serupa tentang bagaimana mereka mengenal sisi dunia ini; iaitu melalui manusia sendiri.

Penculikan Puan Irene, isteri Presiden William ialah cagaran kepada tuntutan pihak Ezakiel yang perlu dipenuhi oleh pihak presiden dan pihak ketenteraan yang diketuai Joseph. Yang sebenarnya membawa kepada konspirasi yang mungkin akan lebih tidak dijangkakan oleh Joseph, Athena dan mahupun Natalya.

_______


Projek Athena 2; masih membawa tema sama seperti buku pertama dalam siri ini, namun pembaca dapat melihat pula bagaimana sisi lain seorang neo-manusia -- Zeus -- yang didoktrin dengan kejahatan dan keganasan seawal penciptaannya. Bagaimana tindakan yang dituruti Zeus ialah hasil daripada apa yang dia faham akan dunia ini, yang sememangnya bebeza dengan Athena. Di dalam buku ini juga lebih banyak konflik yang wujud, persoalan yang dicipta -- tentang dendam, tentang keadilan, kuasa pemerintahan dan unsur kemanusian.

Perjalanan cerita pada saya ialah pada kadar yang laju, tetapi pembaca masih tetap disajikan dengan adegan pertarungan dan penggunaan senjata yang detail -- yang pada saya memang forte penulis.

Plot twist di dalam buku ini sememangnya akan membuka cerita kepada buku seterusnya siri Projek Athena.