A review by iris_ymra
ENTITI by Syafiq Aizat

4.0

Segalanya bermula ketika Iskandar yang sepatutnya mendapatkan semula 'buku lucah' Khai dari bilik rahsia Pengetua -- untuk mendapat pengiktirafan budak lelaki itu sebagai 'bad boy' juga -- namun sebaliknya telah terambil jurnal berkulit hitam yang ditulis oleh individu bernama Reza yang seterusnya Iskandar namakan Ensiklopedia Benda-benda Ghaib.

Pelbagai jampi dari jurnal tersebut seterusnya telah disalahgunakan selepas Iskandar secara tidak sengaja melepaskan Jin Permintaan. Dan Iskandar terpaksa melalui perjalanan yang penuh cabaran untuk memperbetulkan segalanya semula, dengan merungkai setiap catatan di dalam Ensiklopedia Benda-benda Ghaib itu; berlawan dengan makhluk-mahkluk dari dimensi lain dan juga dengan manusia sendiri; seterusnya telah menciptakan persahabatan -- yang dia tidak pernah ada sebelum ini -- bersama Khai; dan mengenali siapa Reza yang sebenarnya.

______

Entiti; plot buku ini sangat penuh dengan idea yang kompleks dan luar daripada biasa. Penulis sangat berjaya melaksankan dan menjadikan ideanya hidup dan tersusun dengan gambar penerangan setiap 'jampi-jampi' yang membantu pembaca visual seperti saya.
Perjalanan cerita penuh dengan unsur-unsur saspen dan misteri, membuatkan saya berasa seperti berada dalam sebuah ekspedisi pengembaraan.

Unsur dan nilai kekeluargaan serta persahabatan yang ditonjolkan dalam cerita ini juga sangat hidup. Saya suka hubungan di antara Iskandar dan ibunya dan juga hubungan persahabatan yang beransur-ansur tercipta antara Iskandar dan Khai.

Kelebihan penulis yang saya suka ialah, dalam menyampaikan kesedaran bertuhan yang subtle tapi sangat sampai kepada diri saya sendiri.