A review by iris_ymra
Tentang Kamu by Tere Liye

4.0

Membawa kisah bagaimana Zaman Zulkarnaen -- seorang peguam di Thompson & Co. -- menelusuri sejarah kehidupan anak guam mereka -- Sri Ningsih -- setelah khabar kematian wanita  itu.

Zaman diberikan tugas mengendalikan urusan warisan Sri Ningsih, yang telah membawa kepada perjalanan lelaki itu merentas benua demi sebuah amanah dan tanggungjawab. Perjalanan yang merungkai banyak persoalan dan memberikan banyak pengajaran.

Dan sentiasa selalu, masa lalu itu membawa hikmah untuk sesiapa yang menoleh ke belakang mendapatkan sebuah pengajaran, samada pada kehidupan diri sendiri mahupun orang lain. Sebagaimana Zaman pada kehidupan seorang Sri Ningsih.

Lembaran demi lembaran kisah hidup Sri Ningsih penuh dengan definisi sebuah ketabahan, kecekalan dan kerja keras yang tidak mengenal erti berhenti atau putus asa. Sosok seorang Sri Ningsih bahkan sepanjang hidupnya telah memberikan sentuhan pada kehidupan orang-orang di sekelilingnya yang bila sahaja nama itu disebut hanya akan membawa memori yang baik tentangnya.

______

Tentang Kamu, sebuah cerita seperti biografi yang dengan watak utama di dalam buku ini menjadi penggerak untuk cerita tentang watak yang lebih utama. Gaya bahasa yang digunakan pada saya mudah untuk difahami walaupun buku ini dalam Bahasa Indonesia.

Setiap bab ke satu bab, pada saya, berjalan dengan menarik dan menimbulkan persoalan memberikan faktor untuk saya terus membelek ke muka surat seterusnya. Walaupun sepanjang perjalanan cerita lebih banyak naratif tapi tidak langsung membuatkan saya bosan, mungkin kerana tidak meleret dan terus tepat kepada tujuan cerita. Dan kerana pada saya cerita buku ini juga seperti sebuah 'scavengers hunt' membuatkan saya turut sama teruju dengan perjalanan Zaman dalam merungkai kehidupan Sri Ningsih.

Paling utama, bagaimana buku Tentang Kamu ini pada saya banyak mengajar tentang nilai sebuah keluarga, persahabatan, kasih sayang, cinta, semangat dan kekuatan jiwa. Kisah Sri Ningsih cukup memberikan sebuah aspirasi untuk tetap terus bangun walau seberapa banyak kali kita jatuh.