A review by iris_ymra
S-K-Y by Fiy Suri

3.0

Kelainan upaya yang dimiliki ditambah dengan rasa anxiety yang tinggi membuatkan Sky sukar untuk mempunyai kehidupan sosial, dia lebih selesa sering sendirian. Kehidupan zaman kanak-kanak Sky dan Jet yang penuh kelukaan saat membesar menjadikan mereka dengan rasa bersalah dalam diri masing-masing. Jet ingin Sky melangkah lebih jauh; Sky inginkan Jet berjalan meninggalkan apa yang telah berlaku.

Mengenali Qid yang mungkin satu-satunya individu yang mengerti akan kelukaan yang dialami Sky dan Jet, yang tidak menjatuh hukum saat mengenal masa lalu mereka berdua. Namun ternyata perkenalan mereka punyai ikatan dalam masa lampau, yang selama ini telah mencipta rasa bersalah Jet dan Sky tersebut.

Tetapi hidup bukan hanya untuk kita mengharap maaf dan peluang daripada mereka yang pernah tersakiti, tapi juga memberi peluang buat diri sendiri. Kerana mungkin kadangkala penghukum terbesar seseorang ialah diri mereka sendiri, yang mampu menyakiti juga adalah diri sendiri berbanding orang lain.

______

Sky; mengetengahkan kisah kelainan upaya -- pekak -- bagaimana cakna kita semua akan kekurangan ini; bagaimana, siapa dan apa yang perlu kita tahu. Sistem kekeluargaan -- yang kita akan lihat betapa unit ini sangat penting buat setiap individu. Kesihatan mental dan bagaiman cara pandang kita pada dunia dan pada sesiapa pun, harus perlu ada kanta yang berbeza, sudut yang tidak sama -- supaya kita bisa mengerti serta mencipta empati.

Plot penceritaan berkembang dari awal sehinggalah tamat bahagian pertama, dan pada saya agak datar dan perlahan memasuki bahagian kedua. Gaya penceritaan tidaklah rumit, dengan sedikit info tentang bahasa isyarat yang berguna untuk pembaca.

Konflik yang dicipta antara watak juga pada saya agak klise -- kaitan tentang masa lalu, survivor guilt. Hanya cara konflik itu yang diselaraskan antara watak yang sedikit berbeza. Kisah cinta yang dicipta sangat cukup tanpa mengundang rasa cringe; terasa lebih indah saya rasa.

Konflik anxiety dan masalah bersosial yang dialami watak terasa dekat dengan diri saya sendiri, justeru mampu menyentuh emosi saya ketika membaca. Dan saya sebenarnya tertanya-tanya, dalam dunia sempurna andai Sky berkeyakinan dengan kekurangan upaya yang dia miliki -- bagaimana agaknya situasi itu, apakah tindakan daripada pihak ibu bapanya, adik-beradiknya, bagaimana kita harus mendidik masyarakat -- saya berharap kalau saja perkara itu dapat ditelusuri. Tetapi mungkin memang kisah ini adalah untuk lebih dekat dan lebih peribadi dengan watak -- secara individu berbanding satu dunia yang lebih besar.

Tahniah penulis atas idea kisah ini. Dunia tidak mungkin boleh kita sempurnakan wujudnya, tapi terpulanglah pada kita untuk hidup bersama ketidaksempurnaan itu dengan melengkapinya dengan tindakan dan reaksi daripada kita.